13 murid dimasukkan ke hospital akibat muntah, pening kepala


PORT DICKSON - Seramai 13 daripada 40 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi yang disyaki mengalami keracunan petang tadi dihantar ke Hospital Port Dickson di sini, ekoran mengalami muntah-muntah dan pening kepala.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas terdapat kerja-kerja meracun di kawasan berhampiran sekolah.

Ahmad Mukhlis berkata, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang dikerahkan memberi bantuan sejurus menerima maklumat pada pukul 2.13 petang.

“Tidak lama selepas itu, murid-murid terbabit mula menunjukkan simptom keracunan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, seramai enam pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 turut dihantar ke lokasi kejadian.
“Kami menerima panggilan daripada pihak hospital untuk membantu bagi membersihkan dan menyahkan racun daripada anggota badan mangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments