500 peneroka Felda rugi ribuan ringgit sebulan


JEMPOL - Lebih 500 peneroka di Felda Palong 6 dekat sini terpaksa menganggung kerugian ribuan ringgit sebulan akibat empat masalah kritikal yang tidak ditangani dengan cekap oleh pengurusan Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTP) sejak setahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor berkata, masalah tersebut ialah buah sawit tidak dituai mengikut masa yang sepatutnya hingga banyak yang busuk di atas pokok dan pelepah pokok sawit tidak dipangkas mengikut masa ditetapkan.
“Selain itu, pembajaan tidak dilakukan mengikut jadual kerana untuk tahun ini hanya sekali dibaja walaupun sepatutnya sudah tiga kali pusingan.
Menurutnya, beliau telah mengambil perhatian mengenai masalah itu sejak beberapa bulan lalu dengan melawat ladang peneroka terlibat bagi mengumpulkan maklumat.
“Jalan pertanian ladang untuk mengangkut keluar buah sawit tidak diurus dengan sempurna hingga menyukarkan tindakan membawa hasil keluar dari ladang,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, para peneroka mengalami kerugian ribuan ringgit setiap bulan dan tidak ada usaha dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Ini bukan berpunca kerana peneroka malas tetapi kegagalan pihak yang bertanggungjawab mengurus ladang di Felda Palong 6,” ujarnya.
“Katakan kerugian RM1,000 sebulan, jika didarab dengan 12 bulan, jumlahnya sudah mencapai kira-kira RM12,000. Siapa yang menanggung kerugian ini?
MUSTAPHA NAGOOR (kiri) bersama para peneroka menunjukkan pelepah pokok sawit tidak dipangkas di Felda Palong 6, Jempol hari ini. - UTUSAN ONLINE

Mustapha berkata, beliau kesal kerana masalah peneroka itu tidak diurus dengan bersungguh-sungguh oleh wakil kerajaan Pakatan Harapan yang diberi amanah mewakili peneroka dalam Felda Wilayah Raja Alias. - UTUSAN ONLINE

Comments