Negeri Sembilan Antlers sasar tiga teratas


SEREMBAN – Negeri Sembilan Antlers yang layak buat kali pertama dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL), musim ini, menyasarkan kedudukan tiga terbaik dalam kejohanan yang bermula, September ini.


Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd. Husni Abdullah berkata, pasukan itu akan membuat persiapan rapi berdepan kejohanan itu termasuk menjalani latihan selama dua minggu di Nakhom Pathom, Thailand, Ogos nanti.
Katanya, mereka akan turut menggunakan tekong import, Wirawut Na Nongkhai, 28, yang juga bekas pemain kebangsaan Thailand bagi memberi cabaran dalam kejohanan melibatkan 10 pasukan itu.
“Kita mengambil pemain import di bahagian tekong untuk memperkuatkan lagi posisi berkenaan. Namun, kita masih diperkuatkan dengan tonggak tempatan iaitu dua apit kanan kebangsaan, Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Mohd. Hafizul Hayazi Adnan, selain, Mohd. Syazreen Qamar Salehan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
“Saingan dalam STL Premier sengit kerana pasukannya lebih hebat seperti penyandang juara, Penang Black Panthers, begitu juga ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder.

“Penggunaan pemain import juga akan menjadikan kejohanan lebih sengit dan mutu permainan bertambah baik. Pemain muda tempatan mesti melihat ini sebagai motivasi untuk mereka bersaing dan mening­katkan permainan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohd. Husni turut mengingatkan para pemain bahawa tahap persaingan dalam STL Premier lebih tinggi berbanding Divisyen Satu yang mereka menangi musim lalu.
Dalam majlis itu, Pestans turut menerima peralatan rasmi daripada wakil penaja, Gajah Emas dan juga rakan strategik, McDonald’s. - UTUSAN ONLINE

Comments