SMK Felda Seri Sendayan ungguli pertandingan kemahiran Pandu Puteri


SEREMBAN - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Seri Sendayan di sini menempa kenangan manis tersendiri hari ini apabila muncul sebagai johan keseluruhan Pertandingan Kemahiran Pandu Puteri Sekolah Menengah peringkat daerah Seremban 2.


Dalam program yang diadakan di Kem Pengakap Seremban Barat di Labu dekat sini itu, sekolah berkenaan menewaskan 15 buah sekolah lain yang menyertai pertandingan tersebut.
“Sepanjang program sehari itu, peserta bertanding dalam tiga aktiviti utama melibatkan bidang kemahiran iaitu mencari dan menyelamat, ikhtiar hidup dan penghasilan produk mini gajet (kem kraf).

Pengetua SMK Felda Seri Sendayan, Samsuddin Jiman berkata, sebanyak 16 buah sekolah menengah di daerah Seremban 2 mengambil bahagian dalam pertandingan itu melibatkan sejumlah 122 pelajar dan 31 orang guru pengiring.
Menurut Samsudin yang juga Pengerusi Pengelola program itu, majlis penutup pertandingan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Ismail Ahmad dan turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kokurikulum Menengah, Zaimy Mohd. Noor.

“Kem ini mendedahkan peserta untuk berhadapan dengan cabaran dan kesusahan serta memahirkan mereka menghadapi pelbagai situasi berbeza untuk meneruskan ikhtiar hidup,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini hari ini.
Selain SMK Felda Seri Sendayan, turut serta adalah SMK Bukit Mewah; SMK King George V; SMK Mambau; SMK Methodist; SMK Pendeta Za’ba; SMK Puteri; SMK Rantau dan SMK Seri Pagi.
Turut mengambil bahagian adalah SMK Seremban Jaya; SMK Seremban Jaya 2; SMK Taman Tuanku Jaafar; SMK Seremban 3; SMK Taman Forest Heights; SMK Dato’ Shamsudin Nain dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa 2. - UTUSAN ONLINE

Comments