Tindakan undang-undang jika sabotaj Sungai Selangor


SEREMBAN - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika benar ada pihak didapati melakukan sabotaj ke atas Sungai Selangor.

SEORANG petugas memeriksa sambungan paip haram di sebuah premis di Kampung Jimah, Seremban hari ini. -UTUSAN ONLINE

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan pencemaran yang berlaku ke atas sungai itu kerana menyusahkan penduduk negeri tersebut.
“Bagaimanapun bekalan air di Selangor berada dalam keadaan terkawal. Terdapat 13 lori tangki membantu membekalkan air bersih di Selangor berikutan pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyertai serbuan kes curi air di Kampung Jimah, Bandar Baru Sri Sendayan dekat sini hari ini.
Mohd. Fazil berkata, jika ujian air yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan esok lulus, maka air dari loji di Selangor boleh disalurkan semula kepada pengguna.
Jelasnya, sampel ujian air dilakukan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan kualiti air tersebut benar-benar bersih untuk digunakan oleh orang ramai.
“Kami menjangkakan lori tangki itu akan memberi bekalan sehingga 24 Julai ini selepas loji air di Selangor pulih sepenuhnya, namun ia bergantung kepada situasi semasa,” katanya.
Yang turut hadir ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Norzita Ismail.
Terdahulu, sebuah premis membancuh simen dikenakan notis oleh SPAN selepas menerima aduan daripada Sains berhubung perbuatan mencuri air. -UTUSAN ONLINE



Comments