TRW Negeri Sembilan kecewa dengan Bibi Ramjani


SEREMBAN - Penyokong The Red Warriors (TRW) di negeri ini hari ini berkumpul mengadakan bantahan aman terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan.



Kelab Penyokong TRW Negeri Sembilan (TRWNS) mahu Bibi Ramjani meletakkan jawatan berikutan kegagalan usahawan batik itu mengendalikan persatuan itu dengan baik kira-kira setahun setengah yang lalu.

Presiden TRWNS, CM Saidi Che Kob berkata, pasukan Liga Perdana TRW juga mencatatkan pencapaian buruk dan mungkin tersingkir ke Liga M3 sekiranya prestasi pasukan itu tidak dipulihkan.

“Sekiranya beliau mahu terus kekal, perlu ada tindakan yang drastik dengan segera bagi mengelakkan pasukan TRW menjadi mangsa,” katanya kepada para pemberita selepas mengadakan bantahan itu di Senawang dekat sini.

Kira-kira 20 ahli kelab itu hadir menyatakan bantahan mereka dengan menaikkan kain rentang.

Jelasnya, Presiden KAFA itu juga gagal menarik dana yang cukup untuk TRW.“Tajaan TRW kini adalah penaja yang sama ketika Bibi Ramjani belum menjadi Presiden KAFA.“Kami juga berharap kerajaan negeri akan tampil membantu KAFA daripada kedudukan kritikal ketika ini,” ujarnya.

CM Saidi berkata, kelab itu tidak menentang Bibi Ramjani secara peribadi sebaliknya hanya membangkitkan kelemahan pentadbiran KAFA dan keresahan penyokong terhadap pasukan Kelantan yang menduduki tangga kedua terbawah dalam Liga Perdana ketika ini.Beliau berkata, TRWNS mempunyai kira-kira 200 ahli berdaftar dan lebih 2,000 pengikut yang setia dan sentiasa menyokong bola sepak Kelantan. - UTUSAN ONLINE

Comments