SEREMBAN - Tindakan pengajur Forum Ibu Soko di Negeri Sembilan menjemput Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon untuk merasmikan forum tersebut dikritik.
![]() |
| Poster Forum Ibu Soko di Negeri Sembilan yang dikongsi dalam Facebook Muzium Negeri Sembilan. |
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penganjur sepatutnya menjemput Datuk Penghulu Luak Jempol untuk merasmikan majlis itu kerana forum tersebut berkaitan adat dan berlangsung di kawasan beliau.
Menurut Mohamad, forum tersebut juga berkaitan dengan tugas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Mohamad Nazaruddin Sabtu yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pilah.
"Adat pun panggil DAP yang rasmi. Takkan tak boleh jemput sekurang-kurangnya Dato Penghulu Luak Jempol, buat di kawasan beliau.
"Ini bukan ke fungsi Exco Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu NS, ADUN Pilah?" tulis Mohamad dalam Facebook beliau.
Forum Ibu Soko Di Negeri Sembilan dijadual berlangsung di Dewan Pendeta Za'ba, Batu Kikir Jempol pada 6 Ogos depan.
Forum bertema 'Wanita Pemangkin Adat Pepatih' itu bertujuan untuk mengetahui peranan dan kedudukan serta tanggungjawab Ibu Soko atau wanita dalam sistem adat Perpatih.
Forum yang dijadual akan dirasmikan oleh Nicole itu juga bertujuan untuk memartabatkan warisan adat dan budaya Negeri Sembilan.
Sementara itu beberapa komen warganet di Facebook Muzium Negeri Sembilan yang mempromosikan forum tersebut turut tidak bersetuju Nicole merasmikan majlis tersebut.
"Ibu Soko tertinggi, Tengku Ampuan tak boleh sempurnakan ke? Atau To' Puan yang berstatus Ibu Soko, tak ada ke?" tulis Apaxs Sordaso.
"Mana Exco Kebudayaan ADUN Pilah tu? Kenapa bukan dia yang datang. Betul ke YB Pilah tu dah tak boleh jalankan tugas?" tanya Helmi Mohamad.
"Mana perginya orang adat di Luak Jempol. Dah hilang ke?" komen Faszeli Pokley.-UTUSAN ONLINE
Terkini (2 Ogos 2019).., adalah dimaklumkan.. bahawa Program ini tetap berlangsung pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan.. Namun, program dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Istiadat Melayu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, YB Tuan Mohammad Nazaruddin Sabtu.

Comments
Post a Comment