Azizulhasni ungguli Piala Trek Asia


NILAI  – Juara dunia 2017, Mohd Azizulhasni Awang menepati statusnya selaku pelumba berkelas dunia apabila mengungguli acara pecut 200 meter individu pada Piala Trek Asia 2019 di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Berkayuh mewakili Team Azizul, anak jati kelahiran Terengganu itu mudah muncul juara menewaskan pelumba Gyeongsangbukdo Sport Council, Park Jeone selepas menang perlumbaan pertama dengan masa 10.424 saat, manakala pesaing Korea Selatan sekadar merakam masa 10.781s.
Pada perlumbaan kedua, Azizulhasni terus menceriakan peminat apabila gagal disaingi sama sekali oleh Jeone dan menang dengan catatan masa 11.347s, manakala lawannya merakam masa 11.672s.
Namun, seorang lagi pelumba negara yang mewakili Sime Darby Foundation (YSD), Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal meneruskan rentak cemerlang rakan senegara apabila sekadar menduduki tempat keempat apabila tumpas kepada lawan dari Indonesia, Admadi Puguh.
Muhammad Shah Firdaus memberikan saingan sengit pada perlumbaan pertama, namun, kecundang apabila melakar masa 12.119s, manakala Admadi mencatat masa 11.817s.
Sekalipun diberikan sokongan padu oleh penonton, Muhammad Shah Firdaus yang berpangkalan di Melbourne, Australia tetap gagal untuk menundukkan Puguh apabila keciciran 0.306s pada perlumbaan kedua.
Skrip kecewa turut membelenggu pelumba berpengalaman negara, Fatehah Mustafa yang sekadar meraih pingat perak apabila dikecewakan oleh tonggak muda dari Indonesia, Dwi Putri Chrismonita. Pingat gangsa diraih oleh pelumba Hong Kong China, Li Yin Yin yang menewaskan pelumba muda Indonesia, Novanda Eiga Kharisma.
Kemenangan terbaharu di halaman sendiri itu pasti membolehkan Mohd Azizulhasni mengukuhkan kutipan matanya untuk pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Hari ini, pelumba yang dikenali sebagai The Pocketrocketman itu akan turun sekali lagi bagi memburu pingat emas dalam acara kegemarannya iaitu keirin sekali gus mengukuhkan cengkaman matanya pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab gembira dengan kejayaan terbaharu yang dikecapi oleh Mohd Azizulhasni, hari ini.
“Kami di PKBM gembira dengan kejayaan Mohd Azizulhasni, hari ini. Kejayaan ini sudah pasti akan mengukuhkan kutipan matanya sekali gus melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020,” katanya dalam satu kenyataan.
Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) mengharapkan Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus meneruskan kayuhan emas pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2019 yang akan diadakan selama dua hari bermula, Sabtu ini. - UTUSAN ONLINE

Comments