SEREMBAN - Satu talian hotline diwujudkan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) bagi membolehkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat
mengenai kehilangan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, menyalurkannya
kepada pihak polis.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop
berkata, talian hotline 0111-2285058 itu dikendalikan oleh Bilik Gerakan OP SAR
(Mencari dan Menyelamat) di Balai Polis Pantai.
"Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat boleh
menghubungi talian ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, operasi mencari Nora
Anne hari ini bermula pada pukul 10.40 pagi melibatkan seramai 296 anggota SAR
daripada pelbagai agensi kerajaan.
Ujar beliau, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan
Mansor turut turun ke lokasi tengah hari ini bagi melihat usaha pencarian dan
menziarahi keluarga mangsa.
Tambah beliau, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali
Redhauddin Tuanku Muhriz mencemar duli mengunjungi Balai Polis Pantai untuk
bertemu petugas SAR yang bertugas pada Hari Raya Aidiladha.
Katanya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak
menularkan perkara yang tiada fakta berhubung kehilangan Nora Anne kerana
pencarian masih giat dijalankan. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment