SEREMBAN - Jumlah atlet Negeri Sembilan yang akan
bersaing dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor tahun depan, bakal
diketahui selepas pemilihan akhir Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan
Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, pada masa ini, atlet
dipilih adalah menerusi persatuan sukan masing-masing.
"Beberapa persatuan sukan sudah membuat pemilihan
tetapi mungkin dalam skala besar sebelum kami tapis dan memilih atlet yang
benar-benar layak menyertai temasya itu," katanya kepada Bernama di sini.
Mengenai penyertaan pada temasya dijadual berlangsung
dari 11 hingga 19 Julai tahun depan itu, Mohamad Taufek berkata kontinjen
Negeri Sembilan tidak akan menghantar atlet semata-mata untuk meramaikan
peserta.
"Kami mahu atlet yang menyertai kejohanan itu
berkualiti dan mampu menyumbang pingat kepada Negeri Sembilan. Kami akan cari
atlet terbaik," katanya.
Pada edisi Sukma ke-19 di Perak tahun lalu, Negeri
Sembilan menyertai 34 acara membabitkan 406 atlet dan meraih 13 pingat emas, 18
perak serta 43 gangsa. - BERNAMA

Comments
Post a Comment