SEREMBAN - Keluarga remaja Ireland, Nora Anne Quoirin,
15, yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di sini sejak 4 Ogos lalu
menawarkan ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat memberi maklumat
sehingga gadis tersebut ditemukan.
Ibu Nora Anne, Maebh Jaseprine Quoirin, 46, berkata, wang
ganjaran itu adalah sumbangan daripada beberapa ahli perniagaan yang
berpangkalan di Belfast, Ireland.
Menurut beliau, mereka yang mempunyai maklumat boleh
menghubungi talian hotline polis di talian 0111-2285058 atau e-mel kepada
ops@lbtrust.org dari luar Malaysia.
"Nora Anne adalah anak pertama kami. Dia sangat
berharga kepada kami. Kami memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat
tentang Nora Anne membantu kami mencarinya.
"Pihak polis sedang bekerja gigih mencari Nora Anne.
Bagi membantu pencarian mereka, kami menawarkan ganjaran RM50,000 untuk apa jua
maklumat yang dapat membantu kami mencari Nora Anne," katanya dalam sidang
akhbar di Balai Polis Pantai di sini hari ini.
Nora Anne dilaporkan hilang dari Resort The Dusun Pantai
Hill dekat sini pada pagi 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibunya,
Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua
adiknya.
Semasa kejadian, mangsa tidur dalam bilik bersama Innes
Julia, 12, dan Maurice Arthure, 8, sebelum adiknya mendapati gadis tersebut
sudah tiada kira-kira pukul 8 pagi.
Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan
pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment