Kesal dakwaan Chin Peng calon Tokoh Hari Kebangsaan 2019


JEMPOL - Sekumpulan peneroka di sini membuat laporan polis berhubung penyebaran dakwaan kononnya Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng adalah calon bagi Tokoh Hari Kebangsaan tahun ini.

Laporan dibuat Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan, Karip Mohd. Salleh yang diiringi kira-kira 20 peneroka di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sini pagi tadi.
Menurut beliau, dakwaan itu disebarkan oleh seorang pemilik nombor telefon yang tidak dikenali di dalam grup WhatsApp, 'Jom Bersama Warga Felda' kira-kira pukul 10 malam semalam.
"Saya telah terbaca satu hantaran dalam grup itu bertajuk 'Chin Peng Calon Tokoh Kemerdekaan 2019'.
"Berita palsu ini sengaja disebarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan kemarahan orang ramai kepada kerajaan yang ada sekarang ini.
"Saya berharap pihak polis menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu ini agar keharmonian rakyat di negara ini tidak tergugat," katanya selepas membuat laporan di sini.
Karip juga meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa ketika ini.
"Kalau tidak dibendung akan membawa perpecahan kepada keharmonian kaum yang telah terjalin selama ini," katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments