Khabar angin Isa Samad meninggal dunia tidak benar


PORT DICKSON  - Keluarga Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menafikan dakwaan bahawa bekas pemimpin UMNO berusia 70 tahun itu meninggal dunia pagi tadi.
Anak lelaki beliau, Mohd. Najib Mohd. Isa berkata, penyebaran khabar angin melalui aplikasi WhatsApp mendakwa bapanya meninggal dunia adalah tidak benar.
Katanya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Naib Presiden UMNO itu berada dalam keadaan sihat.
"Tak betul, semoga makin panjang umur dan makin sihatlah beliau. Apa pun, boleh saja hendak hadiahkan Al-Fatihah kepada ayah saya.
"Sebenarnya yang meninggal dunia pagi tadi ialah bapa saudara (isteri beliau), Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid," katanya di sini hari ini.
Khabar angin mengenai perkara itu tular sejak pagi tadi mendakwa bekas Pengerusi Felda berkenaan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital hari ini. - UTUSAN ONLINE

Comments