JEMPOL - Seorang
kakitangan sebuah stesen minyak di sini mengalami detik cemas apabila diikat
sekumpulan penjenayah dalam kejadian samun kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Ketua Polis daerah Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin
Hashim berkata, mangsa yang juga pengawal keselamatan di premis itu sedang
tidur di dalam keretanya sebelum kejadian itu.
"Mangsa tersedar daripada tidur apabila tingkap
keretanya di bahagian pemandu dipecahkan oleh suspek yang berpakaian gelap,
bertopeng dan bersarung tangan.
"Lelaki itu ditarik keluar dari kenderaannya sebelum
dimasukkan ke dalam sebuah bilik dan diikat di bahagian tangan," katanya
ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, mangsa kemudian terdengar
bunyi mesin 'grinder' yang dipercayai digunakan oleh penjenayah terbabit untuk
menebuk peti besi di stesen minyak itu.
Menurut beliau, kesemua suspek beredar dari premis itu
kira-kira setengah jam kemudian dan melarikan wang tunai RM17,000.
"Suspek tidak menggunakan senjata dan mangsa juga
tidak dipukul oleh suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun
Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment