KUALA PILAH - Walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh
ahli perniagaan, Koon Yew Yin terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
berhubung kenyataannya sebelum ini, Pertubuhan Pahlawan Patriotik Rakyat
Malaysia (Pahlawan Patriotik) Negeri Sembilan bertegas mahu pihak berkuasa
mengenakan tindakan terhadapnya.
Setiausaha pertubuhan itu, Badrullhissam Ismail berkata,
sungguhpun Yew Yin telah membuat kenyataan maaf, laporan polis terhadapnya
tetap diteruskan atas prinsip undang-undang ekoran tidak mahu perkara itu
berulang kembali.
"Kami tidak mengusik urusan hariannya, tetapi dia
sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, kebencian terhadap
pasukan tentera.
"Rakyat Malaysia aman damai, namun disebabkan
penulisannya yang berlebih-lebihan telah mencetuskan pertelagahan, nama buruk
tentera, dan mengancam keselamatan negara," katanya ketika ditemui media
di Balai Polis Seri Menanti di sini pagi ini.
Pahlawan Patriotik membuat laporan polis di Balai Polis
Seri Menanti di sini hari ini.
Terdahulu, dua laporan polis telah dibuat oleh Pahlawan
Patriotik terhadap Yew Yin diiringi 30 ahlinya yang berarak menyanyikan lagu
'Inilah Barisan Kita' sebelum masuk ke perkarangan balai polis.
Badrullhissam berkata, pihaknya menggesa polis dan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara terperinci tanpa
prejudis menyiasat dan bertindak segera terhadap penulis hasutan kebencian
tersebut yang boleh menjejaskan keamanan negara.
"Kesalahan itu yang boleh dikenakan menerusi Seksyen
233A Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 499/500/505 Kanun Keseksaan dan
Panel Kod Seksyen 121 iaitu melancarkan atau cuba melancarkan perang atau
bersubahat dengan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau
Yang Dipertua Negeri," katanya.
Yew Yin dalam kenyataan sebelum ini meminta agar kerajaan
memecat penjawat awam dan menyemak semula senarai kakitangan di sektor
kerajaan.
Beliau menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan
menyifatkan warga ATM hanya tahu makan dan tidur sahaja.
Bagaimana pun, selepas mendapat kecaman ramai,
Yew Yin akhirnya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya
terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menimbulkan rasa kurang senang
kebanyakan pihak selain telah membuat permohonan maaf kepada anggota tentera
yang sudah bersara dan sedang berkhidmat.
Comments
Post a Comment