Matrix Concepts yakin mampu berkembang


SEREMBAN  - Matrix Concepts Holdings Bhd, yang menyaksikan pendapatannya mencecah lebih daripada RM1 bilion buat pertama kalinya dalam tahun kewangan sebelum ini, yakin boleh meneruskan pertumbuhan pada tahun semasa walaupun sektor hartanah sedang berhadapan dengan banyak cabaran.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, pemaju hartanah dari Negeri Sembilan itu telah meraih pencapaian terbaik dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019, mengukuhkan lagi rekod pertumbuhan yang konsisten sejak penyenaraian dan sentiasa memberi pulangan besar kepada para pemegang saham.
“Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh peningkatan jualan hartanah kami termasuk pelancaran beberapa tawaran yang terdiri daripada hartanah mampu milik serta sederhana mewah di Negeri Sembilan dan Johor.
“Memandangkan permintaan yang kukuh, kami yakin prestasi kami akan diteruskan dalam tahun kewangan semasa (tahun kewangan 2020),” katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.
Keuntungan bersih kumpulan bertambah kepada RM218.4 juta di atas pendapatan berjumlah RM1.05 bilion pada tahun kewangan 2019, berbanding RM213.3 juta pada tahun sebelumnya. Ini menyokong pembayaran dividen sebanyak RM97.1 juta yang membentuk 44.6 peratus daripada keuntungan bersih bagi tahun berkenaan.
Sementara itu, jualan hartanah baharu kumpulan juga berjaya mencecah rekod sebanyak RM1.3 bilion pada tahun kewangan 2019, naik 9.7 peratus daripada RM1.2 bilion sebelum ini.
Mohamad Haslah berkata, Matrix memiliki barisan pelancaran baharu yang bernilai RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2020, terdiri daripada hartanah di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan serta Bandar Seri Impian, Johor, untuk segmen pasaran umum, ini akan menyokong prestasi dalam tahun yang akan datang.
Ia melancarkan 2,600 unit hartanah kediaman dan komersial dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.46 bilion pada tahun kewangan 2019.
Kumpulan juga sedang mengintai peluang bagi membuat perolehan strategik ke atas simpanan tanah dalam tahun kewangan 2020.
Di samping itu, ia akan terus meningkatkan kemapanan jangka panjang melalui kerjasama strategik dan mempelbagaikan lagi, asas pendapatannya.
“Untuk tujuan ini, kami telah memulakan dua usaha sama dalam tahun kewangan 2019, iaitu dengan peneraju pendidikan yang terkemuka, Bonanza Educare Sdn. Bhd. bagi menguruskan dan meningkatkan operasi Matrix Global Schools termasuk usaha sama dengan rakan kongsi Indonesia untuk membangunkan sebuah bangunan ikonik di Jakarta.
“Pada tahun kewangan 2019, kumpulan telah memeterai usaha sama dengan PT Bangun Kosambi Sukses dan Nikko Sekuritas untuk membangunkan pusat kewangan Islam di Pantai Indah Kapuk 2, Jakarta.
“Fasa awal menara berkembar setinggi 26 tingkat itu mempunyai nilai pembangunan kasar kira-kira AS$500 juta (RM2.09 bilion) dan ia juga menandakan penerokaan awal kumpulan ke Indonesia,” katanya. - BERNAMA

Comments