Negeri Sembilan raih kemenangan sulung


SEREMBAN - Negeri Sembilan meraih kemenangan sulung dalam kempen Piala Malaysia 2019 apabila menewaskan Terengganu 3-2 dalam pertemuan kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Pasukan pelawat dikejutkan dengan gol pertama tuan rumah seawal minit ke-2 hasil serangan kilat Negeri Sembilan ke kubu lawan.

Pemain tengah, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir yang menerima hantaran rakan sepasukan melepaskan tendangan padu dari luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Terengganu, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.
Belum reda daripada kejutan awal, Negeri Sembilan meledak gol kedua selepas memperoleh sepakan penalti pada minit ke-4 apabila Mohammad Aiman Mohamad Khalidi dijatuhkan dalam kotak penalti lawan.
Pemain import tuan rumah, Jose Almir Barros Neto menyempurnakan sepakan tersebut.
Terengganu yang telah menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dalam pertemuan pertama di Kuala Terengganu pada 17 Ogos lalu menggandakan asakan ke kubu lawan.
Pasukan dari Pantai Timur itu akhirnya berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-35 selepas pemain Negeri Sembilan, Osman Mohd. Yusoff menjatuhkan Mohd. Khairul Izuan Rosli dalam kotak penalti.
Sepakan penalti itu disudahkan oleh ketua pasukan Terengganu, Lee Andrew Tuck.
Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan yang menyaksikan beberapa percubaan mendebarkan.
Pada minit ke-65, Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan dengan gol ketiga melalui pemain import, Igor Carneiro Luiz yang menyepak masuk selepas bola muntah daripada tampanan Wan Muhammad Azraie.
Terengganu bagaimanapun merapatkan kedudukan dengan gol kedua melalui Serhii Andreiev pada minit ke-90. - UTUSAN ONLINE

Comments