SEREMBAN - Polis hari ini menafikan laporan media
antarabangsa kononnya pihaknya telah membawa ibu bapa Nora Anne Quoirin,
berjumpa dengan kumpulan agama selepas menemui jalan buntu ketika operasi
mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland itu dijalankan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop
mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pegawai untuk
berbuat demikian.
“Tiada keperluan pun (untuk berbuat sedemikian),” katanya
ringkas menerusi aplikasi WhatApps kepada Bernama di sini, hari ini.
Media antarabangsa, Daily Mail United Kingdom dalam
laporannya hari ini melaporkan bahawa polis telah membawa ibu bapa Nora Anne,
15, untuk berjumpa dengan kumpulan agama selepas menemui jalan buntu dan
tertekan selepas beberapa hari SAR dijalankan.
Laporan itu mendakwa ia dilakukan pada Isnin minggu lepas
iaitu sehari sebelum mayat Nora Anne ditemui.
Nora Anne, bersama-sama ibu bapanya, Sebastien Marie
Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian selama dua
minggu dan mendaftar masuk di resort penginapannya di sebuah resort di Pantai,
Seremban, pada 3 Ogos, sehari sebelum kehilangannya.
Mayat Nora Anne, gadis istimewa itu ditemui di kawasan
lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat
remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan
menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan sejak 4 Ogos lepas.
Laporan bedah siasat pada Khamis lepas mendapati kematian
Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah
dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca
kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.
Keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu dari Jabatan
Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada Jumaat selepas proses
dokumentasi selesai.
Sementara itu, Mohamad turut menjelaskan bahawa keluarga
Nora Anne telah pun keluar daripada resort penginapan mereka di Pantai, dekat
sini pada Sabtu lepas dan telah meninggalkan negara ini untuk pulang ke negara
mereka. - BERNAMA
Comments
Post a Comment