SEREMBAN - Polis telah menahan seorang lelaki berusia 29
tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ciapan di laman sosial mendakwa
remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dirogol Orang Asli.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop
berkata, lelaki itu ditangkap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban ketika
dia hadir untuk memberi keterangan kepada polis.
"Ya. Dia telah ditangkap pukul 7 malam tadi di IPD
Seremban.
"Kes ini diserah kepada Ibu pejabat Polis Bukit Aman
untuk siasatan lanjut," katanya dalam pesanan ringkas kepada Utusan Online
di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas
perkembangan kes satu ciapan oleh pengguna dengan nama Zikri Armstrong yang
mendakwa remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan mati
telah dirogol Orang Asli.
"Perogol Nora Anne adalah Orang Asli. Police will
never find the killer cuz most Orang Asli still dont have IC or any sort of
citizen data. Bet me," katanya di laman Twitter.
Lokasi resort desa tempat penginapan Nora Anne dan
keluarganya di Pantai, dekat sini adalah berhampiran dengan kawasan penempatan
Orang Asli.
Mayat Nora Anne ditemui kira-kira pukul 1.57 petang,
Selasa lalu oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan
menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Gadis itu yang mengalami masalah pembelajaran dilaporkan
hilang dari resort The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang
bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie
Philipe, 47, serta dua adiknya. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment