Sambutan Kemerdekaan Ke-62 KRT Seri Menanti Meriah

Seri Menanti - Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seri Menanti disambut meriah bersama penduduk kampung sekitar dan kawasan sehampir dengannya.

Sambutan Kemerdekaan ini walaupun dianjurkan oleh KRT Seri Menanti di peringkat awalnya, namun mendapat sokongan daripada  kumpulan media sosial Whatsapp N16 Seri Menanti apabila artis terkenal yang juga anak jati Seri Menanti, Dato' Hattan mencadangkan agar dana anak jati Seri Menanti dapat dikumpul bagi membantu menambah kemeriahan aktiviti Sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 bagi peringkat kawasan.
Dato' Hattan yang menolak jemputan nyanyian di Negeri Kedah, berbesar hati menawarkan diri membuat persembahan berkebajikan di kampung kelahiran tanah tumpahnya darahnya, di Padang Awam Seri Menanti di sini.

Cadangan ini dipersetujui majoriti ahli kumpulan whatsapp dengan kutipan dana minimal sebanyak RM20.00 seorang menjadikan program KRT yang dicadang berlangsung pada waktu siang berlarutan sehingga kemuncak kemerdekaan, di sebelah malam.

Kutipan minimal ini juga mendapat sokongan Yang Berhormat (YB) Dato' Haji Abdul Samad Ibrahim yang turut sama menyumbang.

Menurut beliau ketika ditemui, "kaedah ini berbeza seperti tahun-tahun terdahulu apabila wakil rakyat menyumbang  separuh atau keseluruhan program peringkat kawasan. Kelebihan kali ini pula, semua ahli menyumbang  berpandukan kutipan dana minimal yang dipersetujui bersama.

Dengan cara begini, semua lebih menjiwai semarak kemerdekaan apabila peruntukan perbelanjaan dikeluarkan secara bersama. Ini sangat menarik." Ujar wakil rakyat kawasan tersebut.
Di majlis sama, KRT Seri Menanti menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Karaoke Lagu Patriotik dan Pertandingan Peragaan Patriotik di sebelah siang dan pertandingan akhir berlangsung sebelah malam.

Menanti detik duabelas malam, persembahan dari artis anak tempatan; The Penganan, Adam E dan Dato' Hattan memeriahkan suasana sambutan. 

Sambutan serba sederhana turut dihadiri oleh YM Tengku Kecil Muda, Tengku Dato' Seri Hasmuddin bin Tengku Othman, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Tuan Syahrul Nizam Saleh.

Salam Kemerdekaan Waris Seri Menanti.
Terima Kasih, Dato' Hattan.., cadangan ada umphhhh!

Tahniah semua atas nama satu pengorbanan!


Comments