SEREMBAN - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini
menemukan satu mayat di lokasi pencarian remaja perempuan warga Ireland, Nora
Anne Quoirin, 15, yang hilang dari sebuah resort di Pantai di sini pada Ahad
lalu.
Penemuan mayat individu berkulit putih kira-kira dua
kilometer dari resort itu disahkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk
Mohamad Mat Yusop kepada sebuah portal berita antarabangsa sebentar tadi.
Satu sidang akhbar berhubung penemuan mayat tersebut
dijangka diadakan oleh pihak polis pada petang ini.
Nora Anne dilaporkan hilang dari Resort The Dusun Pantai
Hill di sini semasa bercuti bersama ibunya, Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan
bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya berusia 8 dan 12 tahun
pada 4 Ogos lalu.
Semasa kejadian, mangsa yang merupakan anak sulung, tidur
di dalam bilik bersama dua adiknya itu sebelum didapati hilang kira-kira pukul
8 pagi.
Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan
pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment