TERKINI : Lembaga Muzium Sahkan Forum Ibu Soko Diteruskan

Seri Menanti : Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), YBhg. Drs. Shamsuddin bin Ahmad mengesahkan bahawa Program Forum Ibu Soko di Negeri Sembilan bertajuk "Wanita Pemangkin Adat Perpatih" akan dilaksanakan mengikut jadual seperti sebelum ini pada 6 Ogos 2019, bersamaan hari Selasa yang berlangsung di Teratak Za'ba, Batu Kikir, Jempol.


Majlis bermula jam 8:30 pagi dengan pelbagai aktiviti sampingan berkenaan adat di lokasi sama.

Menurut Pengarah LMNS, rundingan bersama telah dibuat dan mendapat kata muafakat Penyandang-Penyandang Adat dan Dato' Adat Luak Jempol yang  akan turut bersama seterusnya menolak dakwaan desas desus program ini dibatalkan.

Permuafakatan ini terhasil dari rundingan bersama, demi Pengukuhan Institusi Adat.

Menurut beliau lagi, seramai 300 orang peserta akan hadir mengikuti program yang dijadualkan.

Majlis perasmian pula akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu; YB Tuan Mohamad Nazaruddin Sabtu.

Pengesahan program turut diperakui oleh Dato' Lembaga Suku Tanah Datar, YBhg. Dato' Paduka Besar Haji Muhammad Darus Shamsuddin, hari ini.

Pengamal dan Waris Adat Perpatih dijemput hadir bagi memeriahkan majlis.


Sumber : Tuan Pengarah LMNS

Comments