SEREMBAN - Polis hari ini menolak kemungkinan kematian
remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 7 Ogos lalu dan
ditemukan telah meninggal dunia kelmarin berpunca daripada perbuatan jenayah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop
berkata, pakar perubatan yang menjalankan bedah siasat kira-kira sembilan jam
ke mayat mangsa mendapati gadis itu meninggal dunia akibat kebocoran pada
ususnya kerana tidak makan untuk tempoh yang panjang.
Katanya, pendarahan pada usus gadis itu mungkin
disebabkan oleh kelaparan yang berpanjangan.
"Nora Anne didapati telah meninggal dunia antara dua
hingga tiga hari. Tiada kesan atau tanda dia dirogol.
"Terdapat calar dan luka kecil pada kaki tetapi itu
tidak boleh menyebabkan kematian pada mangsa," katanya dalam sidang akhbar
di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Mayat Nora Anne ditemui kira-kira pukul 1.57 petang kelmarin
oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR)
kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Gadis itu yang mengalami masalah pembelajaran dilaporkan
hilang dari resort The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang
bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie
Philipe, 47, serta dua adiknya.
Semasa kejadian, mangsa tidur dalam bilik bersama Innes
Julia, 12, dan Maurice Arthure, 8, sebelum adiknya mendapati gadis tersebut
sudah tiada kira-kira pukul 8 pagi.
Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan
pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu.
Mohamad memberitahu, sehingga kini, tidak ada petunjuk
bahawa mangsa telah diculik atau tertakluk kepada apa-apa bentuk keganasan. -
UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment