SEREMBAN -
Kedutaan Ireland di Kuala Lumpur akan membantu dalam proses dokumentasi
tuntutan mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemukan
telah meninggal dunia, Selasa lalu selepas hilang dari sebuah resort desa di
Pantai dekat sini pada 4 Ogos lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan
Ismail berkata, kedutaan berkenaan telah memaklumkan kesediaan mereka membantu
keluarga remaja tersebut membawa pulang mayat gadis itu ke negara pilihan
mereka.
"Pihak kedutaan memaklumkan apa-apa dokumentasi akan
dimudahkan untuk membawa balik mayat keluar dari Malaysia," katanya dalam
sidang akhbar di Balai Polis Pantai dekat sini hari ini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 10.30 pagi diberikan
taklimat mengenai perkembangan kes kehilangan Nora Anne oleh Ketua Polis Negeri
Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.
Mayat Nora Anne ditemui kira-kira pukul 1.57 petang,
Selasa lalu oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan
menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Gadis itu yang mengalami masalah pembelajaran dilaporkan
hilang dari resort The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang
bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe,
47, serta dua adiknya.
Semasa kejadian, mangsa tidur dalam bilik bersama Innes
Julia, 12, dan Maurice Arthure, 8, sebelum adiknya mendapati gadis tersebut
sudah tiada kira-kira pukul 8 pagi.
Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan
pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu.
Wan Azizah kemudian pergi menemui keluarga Nora Anne yang
masih tinggal di resort The Dusun.
Ketika ditemui para wartawan selepas pertemuan kira-kira
15 minit itu, beliau hanya memberitahu bahawa keluarga mangsa meminta diberikan
privasi ketika ini.
"Saya tidak boleh komen. Keluarga minta
privasi,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment