KUALA PILAH - Perjuangan UMNO untuk memenangi pilihan
raya umum akan datang dan kembali sebagai kerajaan perlu disokong dengan
budaya, tingkah laku dan kaedah yang berbeza dalam kalangan pemimpin dan ahli
parti itu berbanding amalan selama ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk
Seri Johari Abdul Ghani berkata, sekiranya tiga prinsip utama itu belum
berubah, parti itu akan gagal dalam usaha tersebut meskipun terdapat kemarahan
rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.
Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan II memberikan
contoh bagaimana parti Kongres Kebangsaan India (INC) gagal menggunakan
kesempatan daripada kelemahan kerajaan India pimpinan Parti Bharatiya Janata
(BJP) untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) India, Mei lalu.
“Ia gagal kerana masih tidak berubah dengan budaya,
tingkah laku dan kaedah yang masih sama semasa kalah dalam PRU 2014.
“Kerana parti itu dijangka akan menang kali ini, berlaku
perebutan untuk menjadi calon pilihan raya antara pemimpin kerana yang syok
sendiri apabila parti pemerintah dilemparkan dengan pelbagai kecaman akibat
kelemahan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam ucapan merasmikan Persidangan
Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk
Ismail Lasim; bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan
Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Pilah, Rafiei Mustapha.
Johari berkata, nasib yang sama boleh menimpa UMNO
sekiranya semua ahli dan pemimpinnya masih kekal dengan cara lama dan mengambil
mudah setiap isu yang berbangkit.
“Sejauh mana kita telah berubah semasa ada kuasa dan
ketika kita tidak lagi berkuasa,” soalnya.
Beliau menarik perhatian, masalah UMNO bukan pada
pengikutnya tetapi pertelagahan para pemimpin yang tidak berkesudahan sejak
dulu.
“Sebab itu, orang Melayu dulu mengarang peribahasa yang
ditujukan khusus untuk kaum kita sendiri antaranya menang jadi arang, kalah
jadi abu; menang sorak, kampung tergadai dan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
“Pengorbanan bermula daripada pemimpin dan kalau
seseorang pemimpin itu mampu mengalah ketika situasi semasa berkehendakkan
demikian, maka ia adalah pengorbanan yang paling tinggi nilainya,” ujarnya.
Tambahnya, kesabaran adalah kunci utama yang membolehkan
UMNO kekal menjadi parti yang paling kuat selamanya. -UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment