Kekuatan sebenar Malaysia ialah kemajmukannya. Kehidupan
harmoni pelbagai kaum dan agama, telah menjadi karakter utama negara ini. Lalu
sesiapa jua yang cuba mengugat keharmonian ini, wajar bertangungjawab atas
tindakan mereka.
Jika benar apa yang diucapkan oleh Zakir Naik di Kota
Baharu itu, bersifat menghasut dan boleh mengancam kehidupan rukun damai
masyarakat Malaysia, maka beliau harus bertanggungjawab dan menghadapi proses
undang-undang.
Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam
Perlembagaan. Tetapi ia bukan mutlak. Tiada siapa jua, walau seorang ulama
besar mahupun negarawan, mempunyai kebebasan untuk memperlekehkan status,
kedudukan dan kewarganegaraan kaum tertentu di Malaysia.
Kepada Zakir Naik, anda telah dilayan dengan terhormat di
negara ini. Dan anda seorang pendakwah yang terkemuka. Maka adalah
tanggungjawab anda untuk berlaku bijaksana dan menujukkan teladan bahawa Islam
itu adalah kebaikan untuk semua.
Jika anda tidak berupaya melakukan itu, maka anda tidak
boleh menyalahkan Kerajaan Malaysia jika ia bertindak keatas saudara.
Namun tindakan mengusir Zakir Naik haruslah dipertimbang
sebaik-baiknya. Tun Mahathir berhadapan dengan keadaan yang sukar.
Tidak mengusir beliau akan dilihat sebagai penerimaan
kata-kata beliau yang menyinggung perasaan, malah tidak menghormati kaum-kaum
tertentu di Malaysia. Namun begitu, jika dihantar pulang, nyawa dan hak asasi
beliau akan terancam, maka kita mesti bertindak rasional.
Walaumacamana tidak bersetuju pun kita dengan pendapat
Zakir Naik dalam isu tertentu, keadilan hanya akan dapat dicapai jika kita
mendapat jaminan bahawa hak asasi beliau dihormati, jika beliau diusir. Jika
diyakini bahawa hak asasi itu akan dikompromi, maka Malaysia bertanggungjawab
untuk bertindak dengan bijaksana berdasarkan amalan terbaik perundangan
antarabangsa.
Perdana Menteri harus mengimbangi kepentingan nasional,
hak asasi Zakir Naik dan pertimbangan politik pelbagai kaum di Malaysia. Yang
pasti, kita mengharapkan keputusan berhikmah dari beliau.
Dato Seri Haji Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO
Comments
Post a Comment