Majlis serah terima tugas Naib Canselor USIM

SEREMBAN  - Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu, Prof. Mohamed Ridza Wahiddin berazam untuk menggunakan kekuatan universiti itu bagi meneruskan misi dan visi menara gading itu ke tahap lebih tinggi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada empat bekas naib canselor USIM sebelum ini yang telah membawa universiti itu ke tahap yang membanggakan, beliau berkata, perjuangan itu akan diteruskan oleh beliau dengan gandingan semua pihak di menara gading itu.
Jelasnya, beliau menetapkan tempoh 100 hari pertama di USIM atau sehingga Januari tahun depan untuk mengenali dan memahirkan diri selok belok di universiti tersebut.
"Saya akan turun padang bertanya kepada para mahasiswa, ahli akademik dan jawatankuasa pengurusan untuk mendapatkan maklum balas.
"Dengan berbekalkan pengalaman saya selama ini, kita akan bawa USIM ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Naib Canselor USIM di Bangunan Canselori USIM di Nilai dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, Mohamed Ridza menerima nota serah terima tugas daripada bekas Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.
Pelantikan Mohamed Ridza sebagai Naib Canselor USIM yang baharu diumumkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi menerusi satu kenyataan 11 September lalu.
Pelantikan beliau yang juga pakar keselamatan siber dan fizik adalah untuk tempoh tiga tahun bermula hari ini hingga 22 September 2022, menjadikan beliau Naib Canselor kelima USIM sejak universiti ini ditubuhkan pada tahun 2000.
Sementara itu, Musa dalam ucapannya pada majlis hari ini mengucapkan tahniah di atas pelantikan Mohamed Ridza dan percaya tokoh yang berpengalaman itu mampu membawa USIM ke tahap lebih tinggi.
"Pengalaman luas Mohamed Ridza memberi keyakinan kepada semua pihak akan potensi beliau memacu USIM pada masa depan," katanya.
Beliau yang berkhidmat sebagai naib canselor sejak 16 Ogos 2014 mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak di unversiti berkenaan selama memegang jawatan tersebut.
Berikutan pelantikan itu, Musa kini kembali bertugas di Fakulti Sains dan Teknologi di USIM. - UTUSAN ONLINE

Comments