“Doakan saya tidak ditidurkan” – Aishah terkejut oksigen turun mendadak


KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aishah berdepan detik cemas apabila tahap oksigen dalam badan turun mendadak selepas tiub pernafasan dibuka seketika, hari ini.

Jelas penyanyi Janji Manismu ini, pagi tadi pihak hospital cuba membuka tiub tersebut apabila paras oksigen dilihat stabil. Bagaimanapun, selepas dia ke tandas dan kembali ke katil, oksigennya turun dengan mengejut.

Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 56, berkata, dia juga berasa bimbang tatkala melihat ada pesakit lain dibawa ke wad khas untuk ditidurkan.

“Ya Allah mental tidak kuat hari ini, bila melihat pesakit depan saya dibawa naik untuk di intubate (ditidurkan). Pagi tadi tahap oksigen saya 98, mereka cuba nak buka oksigen.

“Tapi bila ke tandas dan balik ke katil, paras oksigen terus turun mendadak ke 88, terpaksa pakai oksigen semula baru naik semula ke 95. Ya Allah teman-teman semua tolong doakan saya tidak sampai ke situ (ditidurkan).

“Saya takut dan masih banyak tanggungjawab pada keluarga yang belum selesai, anak-anak saya banyak lagi hal yang tidak selesai. Saya sangat mengharapkan doa kawan-kawan, ampunkan dosa-dosa saya sekiranya pernah terkasar kata dan sebagainya,” luah Aishah di Instagramnya.

Sebelum ini, Aishah dilaporkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta.

Isnin lalu, Aishah dikejarkan ke Hospital Ampang berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus.


Sumber : Utusan Malaysia Online

Comments