JELEBU - Sebanyak 211 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bagi projek Kerangai-Penagoh Fasa Tiga di sini menerima lebihan keuntungan sebanyak RM6,000 seorang membabitkan jumlah keseluruhan RM1.26 juta.
Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, daripada jumlah itu, RM1,000 disampaikan secara tunai manakala baki RM5,000 akan dikreditkan ke akaun penerima bermula hari ini.
Beliau berkata, kaedah agihan
dividen kepada peserta di Jelebu berbeza kerana ia melibatkan saham, tidak
seperti di kawasan lain yang diagihkan mengikut keluasan tanah yang diusahakan.
"Pada tahun ini lebihan
dividen diagihkan sebanyak RM6,000 bagi setiap peserta, meningkat lebih RM1,400
berbanding tahun lepas.
"Di
Jelebu, dividen diberikan dalam bentuk saham dan diagihkan sekali setahun,
berbeza dengan kawasan lain yang menerima dividen mengikut keluasan tanah
diusahakan, sama ada secara bulanan atau bayaran tiga kali setahun,” katanya
kepada pemberita selepas Majlis Ihya Ramadan Parlimen Jelebu di sini.
Beliau turut menyampaikan
sumbangan kepada 200 asnaf di kawasan Simpang Pertang, pada majlis yang turut
dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan
Komoditi Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Ahmad Jazlan berkata, Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengumumkan
pengisytiharan keuntungan boleh agih akhir projek peserta FELCRA Berhad bagi
seluruh negara hari ini.
Dalam pada itu, Jalaluddin
merangkap Ahli Parlimen Jelebu berkata, projek Kerangai-Penagoh Fasa Tiga
bermula pada 2013 membabitkan tanaman kelapa sawit seluas 256 hektar dan
penerima saham pula diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan
pada April 2021.
Sementara itu, Exco Kanan
Kerajaan Negeri itu berkata, pihaknya turut memaklumkan mengenai perancangan
pembangunan tanah bagi projek perumahan generasi kedua di FELCRA Belia Lakai,
di sini yang melibatkan pemberian 194 lot tanah.
- Beliau berkata,
daripada jumlah itu, 94 lot akan diberikan kepada peserta FELCRA sebagai
lot kediaman, manakala baki 100 lot akan diuruskan oleh FELCRA bagi tujuan
pembangunan termasuk pembinaan kemudahan berkaitan.
"Penerima lot berkenaan
juga berpeluang membina rumah sendiri melalui projek tertentu termasuk
kemungkinan kerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi
membantu generasi kedua FELCRA Lakai memiliki kediaman sendiri," katanya.-
Bernama

Comments
Post a Comment