Putrajaya: Kerajaan sedang berusaha memastikan
bekalan minyak dalam negara kekal stabil termasuk mendapatkan bekalan baharu
demi kelangsungan rakyat susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Sehubungan itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri
Amir Hamzah Azizan, meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi
berhubung perkara terbabit bagi mengelak sebarang kesan negatif.
"Seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Malaysia mempunyai bekalan minyak yang
mencukupi buat masa ini, namun tidak bermakna kerajaan tidak berbuat apa-apa
bagi mendapatkan bekalan tambahan.
"Usaha untuk mendapatkan bekalan baharu bagi
menggantikan apa yang kita gunakan terus dilakukan oleh Petronas dan
syarikat-syarikat minyak lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca
mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi
Fadzil serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad
Sabu.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, prestasi
pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada tahun lalu dijangka menjadi
pemangkin kepada momentum negara biarpun berdepan cabaran global.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi pada 2025
melebihi sasaran kerajaan juga menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh,
sekali gus memberi sokongan kepada prospek pertumbuhan pada tahun ini.
"Alhamdulillah… tahun lepas kita dapat lihat
ekonomi Malaysia kembali rancak. Pada suku keempat bagi tahun 2025, pertumbuhan
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 6.3 peratus dan keseluruhan tahun itu
5.2 peratus yang dipacu oleh pembaharuan ekonomi yang ada, pelaburan domestik
yang berlaku dan perbelanjaan yang ada dalam negara.
"Kita rasa isu ini akan terus mempengaruhi
tahun ini. Jadi insya-Allah kita bermula dengan keadaan yang lebih stabil dan
lebih kuat daripada apa yang ke hadapan," katanya.

Comments
Post a Comment