SEREMBAN - Kes kebakaran terbuka di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan mendadak iaitu sebanyak 159.5 peratus dalam tempoh 1 Mac hingga 25 Mac berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelama Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 205 kes kebakaran terbuka direkodkan dalam tempoh tersebut berbanding hanya 79 kes pada tahun lalu.
Kebakaran melibatkan kawasan belukar dan lalang mencatatkan peningkatan paling ketara iaitu daripada 45 kes kepada 186 kes.
"Peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka ini amat membimbangkan kerana berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan awam, kesihatan masyarakat serta alam sekitar," katanya.
Justeru ujarnya, orang awam dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka khususnya ketika cuaca panas dan kering bagi mengelakkan kebakaran tidak terkawal.
"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai juga digalakkan untuk tidak membakar sampah secara terbuka, memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih daripada bahan mudah terbakar dan melaporkan dengan segera sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa.
"Sebarang kejadian kebakaran boleh dilaporkan melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi balai bomba yang berhampiran," katanya.
Sumber : Sinar Harian

Comments
Post a Comment