Ikhlas com santuni asnaf dan mualaf

 


Kuala Lumpur: Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) mempergiat misi menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan sempena mengambil keberkatan bulan mulia ini menerusi kempen tahunan 'Seikhlas Ramadan' yang berlangsung serentak di seluruh negara.

Antara inisiatif terbaru ialah Program Ziarah Belantara yang menyantuni komuniti mualaf Orang Asli di Perkampungan Orang Asli (Pos) Lemoi dan Pos Telimau di Cameron Highlands, Pahang, bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Belantara dengan konvoi 17 kenderaan pacuan empat roda dan 55 sukarelawan.

Meredah laluan balak yang lecak dan hutan berkabus, konvoi itu membawa bantuan keperluan asas termasuk beras, minyak masak, gula, tepung dan barangan dapur lain bagi membantu komuniti setempat membuat persiapan berbuka dan bersahur sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, selain bantuan makanan, program itu turut diisi dengan sesi iftar, tarawih dan tazkirah bersama komuniti mualaf Orang Asli sebagai sokongan berterusan dalam mengukuhkan kefahaman serta penghayatan Islam dalam kehidupan seharian mereka.

"Kami mengambil berat amanah yang diberikan oleh penyumbang, apabila kita menyentuh mengenai sedekah, bagi ikhlas.com ia bukan sekadar transaksi digital.

"Ia amanah yang perlu sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk komuniti yang berada jauh di pedalaman," katanya dalam kenyataan.

Selain Program Ziarah Belantara, kempen Seikhlas Ramadan turut membabitkan pelbagai inisiatif lain dengan usaha sama jawatankuasa dan kariah masjid, pertubuhan kebajikan dan pihak berkuasa tempatan bagi menyantuni komuniti asnaf dan golongan memerlukan.

Antaranya, Program Makeover Rumah Asnaf dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi membantu memperbaiki kediaman keluarga asnaf dan program Shopping Raya 'Ikhlas Untukmu' yang membantu keluarga asnaf membuat persiapan Aidilfitri termasuk pakaian dan keperluan asas.

Dalam masa sama, beberapa program iftar komuniti turut dianjurkan termasuk penyediaan 1,100 pek makanan kepada pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas dan 1,500 pek makanan iftar kepada mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak.

Sumbangan makanan berbuka termasuk bubur lambuk turut disalurkan kepada 3,000 petugas barisan hadapan dengan kerjasama AirAsia Ride di KLIA Landside, Sepang, selain penganjuran iftar komuniti bersama 110 keluarga asnaf membabitkan lebih 1,000 penerima di St Rosyam Mart, Jalan Kebun, Klang turut menerima bantuan barangan keperluan asas.

Sehingga kini, lebih 20,000 pek makanan panas untuk berbuka dan kira-kira 1,200 bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas diagihkan kepada golongan yang memerlukan pada sepanjang Ramadan.

Comments