SEREMBAN
- Datuk Ismail Lasim yang dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan
mempunyai pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran negeri, hasil menjadi
wakil rakyat kira-kira tiga dekad, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) merentasi beberapa penggal kerajaan serta
mempunyai latar belakang profesional sebagai peguam.
Ahli
Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh berusia 67 tahun itu mengangkat sumpah
jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri,
Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Ismail
mula menceburi politik sebagai wakil rakyat apabila dipilih sebagai ADUN pada
1999 dan sejak itu membina pengalaman hampir tiga dekad dalam politik Negeri
Sembilan.
Beliau
mula dilantik sebagai EXCO pada 2004 dan terus menganggotai pentadbiran negeri
selama tiga penggal berturut-turut hingga 2018.
Sepanjang
tempoh itu, beliau memegang portfolio pendidikan serta terlibat dalam merangka
dan melaksanakan pelbagai dasar berkaitan pembangunan pendidikan dan modal
insan di Negeri Sembilan.
Selepas
pembentukan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan susulan Pilihan Raya Negeri
(PRN) ke-15, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah itu sekali lagi diberi kepercayaan
menyertai barisan EXCO dengan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak
Pendidikan dan Modal Insan.
Dilahirkan
di Juasseh, Kuala Pilah, Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan
Pusat Juasseh sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan King
George V.
Beliau
kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti
Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) sebelum
membina kerjaya sebagai peguam.
Ismail
mendirikan rumah tangga dengan Datin Noraishah Othman dan pasangan itu
dikurniakan lima orang anak.
Selain
rekod dalam pentadbiran kerajaan negeri, Ismail juga dikenali sebagai pemimpin
yang berpengalaman dalam parti menerusi penglibatan aktif pada pelbagai
peringkat parti, termasuk jawatan terkini sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri.
Ismail
memulakan khidmat sebagai ADUN Senaling pada 1999, menjadi antara pemimpin yang
mempunyai pengalaman panjang dalam pentadbiran kerajaan negeri dan politik
UMNO, selain terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta
pembangunan negeri.
Dalam
bidang profesional, Ismail pernah berkhidmat sebagai peguam serta mempunyai
pengalaman dalam pengurusan korporat pada peringkat lembaga pengarah.
Kemenangannya
di Juasseh pada PRN Negeri Sembilan ke-16 menambah satu lagi pencapaian dalam
perjalanan politiknya, sekali gus memperkukuh rekod perkhidmatan sebagai wakil
rakyat.
Ismail
memenangi DUN Juasseh dengan majoriti 4,091 undi menewaskan Mohd Aidil Abdullah
mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Zuhaimi Md Yusof (Bersatu).
BN
memenangi 18 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh
kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri
dengan majoriti dua pertiga. - Bernama

Comments
Post a Comment