KUALA PILAH - Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mendukung
dan memuliakan institusi diraja serta menjunjung adat istiadat negeri sebagai
asas penting dalam pentadbiran, kata Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Beliau berkata, perkara itu merupakan tanggungjawab setiap
rakyat Negeri Sembilan selain menjadi antara usaha kerajaan untuk memastikan
keharmonian serta hubungan baik antara institusi diraja dan pentadbiran negeri
terus dipelihara.
"Sebagai rakyat Negeri Sembilan, memang satu
kewajipan. Pertama sekali memahami soal adat istiadat Negeri Sembilan dan
keduanya kita memuliakan, mendukung institusi diraja yang ada di Negeri
Sembilan.
"… dan tinggal lagi, kita cuba cari jalan yang paling
sesuai supaya mengurangkan konflik dan sebagainya. Ini sebahagian daripada
tugasan kita,” katanya pada sidang media selepas selesai mengangkat sumpah
jawatan Menteri Besar di sini pada Ahad.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh
berkata, komitmen berkenaan selari dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri
yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memberi
jaminan akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi
memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri itu terus diberi
keutamaan.
Beliau berkata, tiada kejanggalan untuk meneruskan
kerjasama berkenaan memandangkan Barisan Nasional (BN) turut menjadi sebahagian
daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Berhubung perancangan serta dasar yang diperkenalkan
kerajaan sebelum ini, Ismail berpandangan ia wajar diteruskan dan ditambah baik
demi manfaat rakyat.
"Dasar ini saya rasa yang baik, tak perlu kita
tamatkan, kita teruskan, asalkan ia berfokus kepada kepentingan rakyat, saya
rasa tiada isu untuk kita teruskan,” katanya.
Terdahulu, Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri
Besar di hadapan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana
Besar Seri Menanti di sini selepas mendapat perkenan baginda menerajui
pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Ramlan Harun
semalam mengumumkan Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 kerusi pada Pilihan
Raya (PRN) Negeri Negeri Sembilan ke-16, Pakatan Harapan (PH) memenangi 11
kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.
Kerajaan Negeri Sembilan dibentuk menerusi kerjasama BN dan
PN. - Bernama

Comments
Post a Comment