SEREMBAN - Negeri Sembilan sedang
mempertimbangkan cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Exco bagi beberapa
portfolio sebagai usaha memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar,
Datuk Ismail Lasim berkata, jawatan Exco secara keseluruhannya akan diisi
dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti komponen termasuk
Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).
"Kita
mungkin tidak dapat menempatkan semua wakil rakyat dalam barisan Exco, jadi
kita sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatan imbalan Exco bagi
beberapa portfolio yang saya fikirkan penting," katanya kepada pemberita
di Wisma Negeri, di sini pada Selasa.
Beliau berkata,
cadangan itu merupakan pendekatan baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri,
namun jumlah Timbalan Exco yang akan dilantik masih belum diputuskan.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, jawatan
Exco Kanan pula masih belum dimuktamadkan walaupun terdapat peruntukan bagi
pelantikan berkenaan.
Beliau berkata,
pelantikan barisan Exco negeri dijangka diumumkan seawal Jumaat ini atau
selewat-lewatnya Isnin depan.
Terdahulu, Ismail, 67, memulakan tugas pada hari pertamanya di Pejabat Menteri
Besar di Wisma Negeri, di sini pada jam 9 pagi tadi, disambut oleh Setiausaha
Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim bersama ketua-ketua jabatan.
Ismail yang
memenangi kerusi DUN Juasseh pada PRN Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan
Menteri Besar di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz
Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, pada Ahad.
PRN Negeri
Sembilan melibatkan 36 kerusi DUN dan kemenangan BN di 18 kerusi DUN serta
Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi, membolehkan kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri
dengan majoriti dua pertiga. - Bernama

Comments
Post a Comment