KUALA PILAH - Pemilihan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri
Besar Negeri Sembilan yang baharu adalah satu keputusan tepat,
kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh
itu bukanlah asing dalam dalam arena politik negeri, malah mempunyai pengalaman
luas selepas berkhidmat sebagai wakil rakyat selama beberapa penggal.
Menurutnya, pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar
bagi penggal ini telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri
Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
"Jadi kita amat sukacita atas pelantikan beliau.
Beliau seorang yang bukan asing dalam politik Negeri Sembilan dan sudah penggal
ketujuh berkhidmat.
"Saya rasa pemilihan Datuk Ismail adalah amat tepat
sekali dan kita berharap dengan pengalaman yang beliau ada dapat memberikan
pentadbiran yang stabil dan cekap untuk kita terus pastikan Negeri Sembilan
dapat bergerak dan membangun seperti yang dirancang," katanya.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah itu mengangkat
sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di hadapan
Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti di sini pada 11.20 pagi
Ahad.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan gabungan BN dan PN
secara rasmi menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada
Sabtu.

Comments
Post a Comment