KUALA TERENGGANU
- Pengundi Malaysia dilihat semakin matang, kritikal dan pragmatik dalam
membuat pertimbangan politik dengan memberi keutamaan kepada prestasi
pentadbiran berbanding kesetiaan partisan yang bersifat tradisional.
Penganalisis
politik, Dr Azrie Azeh berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat
menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 yang
melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), di mana ia bukan sekadar
mencerminkan perubahan komposisi kerusi, malah menggambarkan transformasi
mendalam terhadap orientasi pengundi.
Menurut beliau,
pandangan pakar sains politik V.O. Key Jr. bahawa pilihan raya merupakan
"the voice of the people at a given moment" menjadi amat signifikan
dalam memahami keputusan berkenaan.
"Dalam konteks Negeri Sembilan, suara rakyat jelas
memperlihatkan bahawa legitimasi politik pada masa kini semakin bergantung
kepada kemampuan sesebuah parti membuktikan prestasi pentadbiran, keberkesanan
dasar serta keupayaan memenuhi aspirasi masyarakat, bukannya bergantung
semata-mata kepada retorik politik atau janji pilihan raya," katanya.
Mengulas lanjut, Azrie menjelaskan keputusan rasmi PRN
Negeri Sembilan memperlihatkan Barisan Nasional (BN) muncul sebagai blok
terbesar dengan memenangi 18 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11
kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.
Katanya,
prestasi BN boleh ditafsirkan menerusi Retrospective Voting Theory oleh Morris
Fiorina, di mana pengundi menilai berdasarkan prestasi sebenar, pencapaian
dasar, kestabilan pentadbiran dan keberkesanan pengurusan ekonomi.
"BN berjaya
membina naratif kestabilan politik serta penyelesaian isu tempatan yang
praktikal melalui jaringan akar umbi dan pengalaman pentadbiran yang panjang.
"Bagi PH
pula, kejayaan memperoleh 11 kerusi DUN dan kehilangan kedudukan dominan
menjadi isyarat bahawa legitimasi politik sentiasa tertakluk kepada penilaian
semula.
"Menerusi
pendekatan Issue Voting, pengundi cenderung memilih berdasarkan isu harian
seperti kos sara hidup dan ekonomi. Naratif reformasi masih penting, namun
pengundi kini menuntut hasil dasar yang dapat meningkatkan kesejahteraan hidup
secara nyata serta penyampaian maklumat yang lebih meyakinkan," jelas
beliau.
Sementara itu,
beliau melihat PN kekal sebagai aktor utama apabila meraih tujuh kerusi, namun
masih berdepan kekangan untuk memperluaskan pengaruh di negeri berdemografi
rencam.
"Berdasarkan
Median Voter Theorem oleh Anthony Downs, kemenangan bergantung kepada keupayaan
menarik pengundi sederhana (median voters).
"Justeru,
PN perlu memperkukuhkan tawaran ekonomi yang inklusif dan mesra pengundi
pelbagai latar belakang," ujarnya.
Tambah beliau,
keputusan ini turut memberi isyarat penting kepada empat negeri yang ditadbir
PN (SG4) iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
"Mengikut
pandangan Joseph Schumpeter, demokrasi memberikan rakyat kuasa untuk
'menghadiahkan' atau 'menghukum' pemerintah. Pengundi kini menilai keberkesanan
pentadbiran melalui indikator konkrit seperti pertumbuhan ekonomi, peluang
pekerjaan dan kecekapan perkhidmatan awam," katanya.
Menurutnya lagi,
meskipun sistem First-Past-the-Post (FPTP) menjadikan perpecahan undi faktor
signifikan dan dinamika kerjasama antara BN-PN terus diperdebatkan, beliau
berpandangan masih terlalu awal untuk merumuskan PRN Negeri Sembilan sebagai
gambaran muktamad bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Walau
bagaimanapun, beliau menyatakan pilihan raya negeri tetap berfungsi sebagai
barometer politik yang mengukur tahap penerimaan rakyat.
"PRN
Negeri Sembilan memperlihatkan dua perkara utama: pengundi tidak lagi memilih
berdasarkan nostalgia atau kesetiaan partisan semata-mata, dan legitimasi
politik moden adalah berasaskan prestasi (performance-based legitimacy).
"Dalam
demokrasi yang semakin matang, mandat rakyat bukanlah hak yang diwarisi secara
automatik, sebaliknya amanah yang perlu sentiasa dipelihara melalui prestasi
dan kebertanggungjawaban," katanya.

Comments
Post a Comment