Senarai Exco Negeri Sembilan akan dibincang dengan Presiden UMNO, selesai selewat-lewatnya Jumaat - MB
KUALA PILAH - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail
Lasim memaklumkan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan
dibincangkan terlebih dahulu dengan Presiden UMNO sebelum dipersembahkan kepada
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang
di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika menghadap baginda selepas Majlis
Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar pada Ahad.
"Saya telah memaklumkan kepada Tuanku bahawa saya akan
berbincang dahulu dengan Presiden UMNO, tengok pandangan beliau, mungkin ada
cadangan-cadangan bersesuaian untuk dipertimbangkan.
"Kita akan cuba selesaikan selewat-lewatnya Jumaat.
Kalau sempatlah... Insya-ALLAH. Kalau ikut Tuanku, baginda lagi suka
diselesaikan dalam waktu terdekat," katanya pada sidang media pertama
selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada Ahad.
Mengulas mengenai penyertaan wakil Perikatan Nasional (PN)
dalam barisan Exco, beliau berkata, pembentukan kerajaan negeri dibuat secara
bersama, justeru semua parti akan diberikan perhatian.
Katanya, ia termasuklah daripada rakan komponen BN yang
memenangi pilihan raya itu.
"Kita menubuhkan kerajaan bersama dan pastinya kita
mengambil kira Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili PN dan ADUN yang
mewakili Barisan Nasional (BN).
"BN bukan sahaja terdiri daripada UMNO, tetapi juga
parti komponen MCA dan MIC. Semua ini akan kita berikan perhatian dalam
pembentukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.
Ditanya sama ada jumlah Exco akan dikecilkan atau terdapat
portfolio yang akan digugurkan, beliau berkata, perkara itu masih belum
difikirkan, begitu juga jawatan Exco Kanan.

Comments
Post a Comment