KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar
Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar Menteri Besar dan
semua Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) supaya sentiasa menghormati serta taat setia kepada
institusi diraja.
Baginda bertitah, mereka juga perlu
melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan di samping
mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
"Beta merakamkan tahniah kepada
semua wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat untuk menganggotai
Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16
yang berlangsung pada 1 Ogos 2026 semalam.
"Beta juga menzahirkan penghargaan
kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri yang telah menabur bakti dan memberikan perkhidmatan sepanjang penggal
yang lalu," titahnya pada Majlis Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan
dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri
Menanti, di sini, pada Ahad.
Titah baginda lagi, semua calon yang
tidak berjaya dalam pilihan raya kali ini agar dapat terus berkhidmat kepada
rakyat dengan penuh dedikasi serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat
dan kemajuan Negeri Sembilan.
Menurut baginda, tugas setiap ADUN
adalah amat besar kerana mereka bertanggungjawab membawa suara, aspirasi,
keperluan dan permasalahan rakyat ke Dewan yang mulia.
"Justeru, setiap tindakan dan
pertimbangan hendaklah sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan
Negeri Sembilan.
"Kesetiaan dan komitmen kamu
hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi
sebarang kepentingan politik dan kepentingan peribadi," titahnya.
Baginda bertitah lagi bahawa negeri ini
memerlukan barisan pemimpin yang memiliki integriti yang tinggi, menjunjung
maruah serta berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai murni.
"Beta turut menegaskan bahawa
setiap amanah yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa
tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan.
"Sebarang penyalahgunaan kuasa,
kedudukan atau kepercayaan yang diberikan bukan sahaja akan mencemarkan
institusi yang diwakili, malah boleh mengakibatkan ketidakadilan serta
menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar yang dirangka demi kepentingan
rakyat dan kemajuan negeri," titah baginda lagi.
Selain itu, baginda turut menaruh
kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Ismail
Lasim untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan
jujur.
"Beta berpesan agar kecemerlangan
yang telah ditunjukkan pada penggal yang lalu, diteruskan dan diperbaiki
sekiranya ada terdapat sebarang kelemahan," titahnya.
Tuanku Muhriz turut mengingatkan bahawa
setiap agama, kaum dan budaya mempunyai nilai-nilai murni serta tradisi yang
wajar dihormati dan dipelihara.
Titah baginda, sikap saling memahami,
menghormati dan menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan masyarakat kita
hendaklah terus dipupuk dalam kalangan seluruh rakyat.
"Beta percaya bahawa dengan
menjunjung nilai hormat menghormati, toleransi dan semangat muafakat, kita akan
dapat memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian serta menyemarakkan
semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
"Inilah asas penting yang akan
memastikan Negeri Sembilan terus kekal aman, makmur dan sejahtera untuk
dinikmati oleh generasi kini dan akan datang," titahnya.

Comments
Post a Comment